Lukisan kaligrafi khat

>> Monday, February 11, 2013

Semenjak berpindah ke kediaman sendiri lebih setahun yang lalu, saya mengidamkan sebingkai lukisan kaligrafi khat bagi menghiasi ruang tamu. Karya-karya di galeri seni khat memang tidak mampu saya beli kerana harganya yang tinggi. Ada rakan memberitahu di Indonesia saya boleh dapatkan lukisan dengan harga yang murah, tetapi saya belum ada perancangan hendak ke sana. Mujurlah, ada Encik Google yang membawa saya ke laman Lukisan Kaligrafi Murah.

Setelah beberapa ketika melihat-lihat contoh lukisan yang dipaparkan, saya memilih satu yang berkenan di hati dan menghubungi artis lukisan kaligrafi, Cikpuan Zainab Desa bagi membuat tempahan. Dia amat  sabar melayan pertanyaan-pertanyaan dan permintaan saya. Lukisan saya disiapkan minggu lepas, dan disebabkan rumah saya tidak jauh dari tempat beliau, Cikpuan Zainab sudi menghantarkannya sendiri. Saya amat gembira melihat dan memegang hasil karyanya yang amat cantik - Alhamdulillah! Pilihan corak bunga yang berwarna-warni bakal menceriakan ruang tamu saya, insya-Allah :)


Saya dan Cikpuan Zainab (kanan) bergambar bersama lukisannya. Saya memilih kalimah 'Lailaha illallah Muhammadan Rasulullah yang bermaksud 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah.'

Saya secara peribadi memang berminat dengan kedua-dua elemen seni dan khat (terutamanya khat), jadi saya mengambil kesempatan untuk mendapatkan cerita terus daripada Cikpuan Zainab. Dia dahulunya bertugas sebagai seorang 'IT programmer'. Turning point dalam kerjayanya adalah apabila rakannya mengajak dia pergi bersama ke sebuah galeri seni bagi meninjau karya-karya yang dipamerkan di situ. Dia dan rakannya amat terkejut melihat julat harga yang amat tinggi. Mereka lekas beredar. Dia menerima permintaan rakannya untuk cuba melakarkan lukisan kaligrafinya sendiri. Dia sendiri pun meminati seni sejak kecil lagi, walaupun tidak pernah mendapat latihan secara formal. Cubaan pertamanya berjaya. Apabila dimuatnaik dalam blog pula, dia menerima banyak pertanyaan mengenai karyanya, jadi dia pun mula mengambil tempahan dan menyiapkannya pada masa lapang.

Permintaan semakin banyak dan Cikpuan Zainab tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan-pelanggannya. Pada tahun 2010, dia nekad berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa menghasilkan karya seni lukisan kaligrafi. Selain melalui blog, Cikpuan Zainab juga memaparkan karya-karyanya dan mengambil tempahan melalui laman Facebook. Dia juga telah dijemput sebagai tetamu di beberapa rancangan televisyen contohnya Wanita Hari Ini bagi memperkatakan tentang hasil seninya dan membuat sedikit demonstrasi.

Cikpuan Zainab mengambil masa antara dua ke empat hari bagi menyiapkan setiap tempahan, bergantung kepada ilham dan 'mood' sewaktu melukis dan mengecat. Ada masanya dia terpaksa berbincang dengan pelanggannya bagi mengatur jadualnya sekiranya terdapat banyak tempahan pada satu-satu masa. Saya bertanya, pernahkan dia mendapatkan bantuan bagi menyiapkan lukisan. Ujar Cikpuan Zainab, "Saya pernah memberi satu tugasan kepada seorang pelukis yang datang kepada saya dan menawarkan khidmatnya, tetapi akhirnya saya buat kembali tempahan tersebut kerana tidak berpuas hati." Tangan berbeza, hasilnya pun berbeza (tetapi tidak semestinya kurang baik).

Perancangan Cikpuan Zainab pada masa hadapan, adalah untuk membuka galerinya sendiri. Saya bertanya, "Adakah cikpuan akan menaikkan harga karya-karya cikpuan?" Jawabnya, "Harga akan naik sedikit, tapi tidaklah sampai jadi terlalu tinggi." Ujarnya lagi, dia komited mahu mengekalkan harga karyanya pada tahap mampu milik. Apabila ramai mata yang dapat melihat dan membaca tulisan-tulisan khatnya, dia mengimpikan saham pahala. Insya-Allah.

 

Satu lagi karya yang amat saya sukai. It's so brilliant and vibrant! Mungkin untuk tempahan berikutnya, insya-Allah.

 Kisah Cikpuan Zainab menjadi contoh yang membuktikan internet telah meliberisasikan banyak perkara dengan menjadi 'orang tengah' yang efisyen. Semoga lebih ramai individu tampil menawarkan khidmat dan bakat yang mereka ada bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat. Buat Cikpuan Zainab yang saya kagumi dan hormati, terima kasih dan semoga terus berjaya dalam lapangan yang dipilih ini!

Read more...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP